Sabtu, 17 September 2016

BERITA HARI INI (LATEST NEWS) BERTARIKH 18/9/2016


1. KOTA BHARU 17 Sept. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelar wakil rakyat DAP, Jeff Ooi serta semua pihak yang bertindak mempersenda dan menghina kematian Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din di media sosial. Menurut Abdul Hadi, golongan tersebut tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan negatif berhubung kematian Allahyarham.

2. KUALA LUMPUR 17 Sept. – Pengebumian jenazah Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berlangsung dalam suasana damai dan tenang di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars di Livermore, California, Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Pengebumian disempurnakan pada pukul 8.57 pagi (waktu Malaysia) selepas selesai solat jenazah yang diimamkan anak Allahyarham, Hamdi di Masjid An-Noor, Santa Clara, San Francisco.

3. BANGKOK, 17 Sept - Seramai 455 rakyat Malaysia sedang meringkuk di penjara Thailand dengan lebih 90 peratus daripada mereka menjalani hukuman berkaitan kesalahan dadah. Sebahagian kecil daripada rakyat Malaysia yang berada di penjara Thailand pula melibatkan kesalahan berkaitan kad kredit.

4. KUALA LUMPUR 17 Sept. – TPM, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat mulai hari ini hingga 25 September ini. Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini memberitahu, Ahmad Zahid dijadual menyampaikan ucapan semasa sesi Debat Umum pada 24 September ini.

5. KUALA LUMPUR 17 Sept. – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) hari ini membuat laporan polis terhadap Jeff Ooi ekoran kenya¬taannya yang menghina kematian Allahyarham Datuk Dr. Haron Din. Ahli Parlimen Jelutong daripada DAP itu juga digesa memohon maaf secara terbuka kepada keluarga Allahyarham.

6. KUALA LUMPUR 17 Sept. - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dipilih untuk menerima anugerah 'Lead by Example' oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO). Anugerah itu diberikan atas usaha dan sumbangan Rosmah dalam membangunkan potensi kanak-kanak, terutama di bawah Program Permata.

7. JELEBU 17 Sept. - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyasarkan seramai empat juta pelancong berkualiti dari China berkunjung ke Malaysia menjelang 2018. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, jumlah tersebut mampu dicapai berikutan kedatangan pelancong negara tersebut meningkat sebanyak 32 peratus pada Januari hingga Jun tahun ini.

8. KUALA LUMPUR 17 Sept. - Sebanyak 1,500 warga kota menyertai Larian Hari Malaysia 2016 yang julung kali dianjurkan Persatuan Rekreasi Wilayah Ceria 1 Malaysia dengan kerjasama beberapa pihak di Lanai Pusat Pelancongan Malaysia (Matic). Acara yang diadakan sempena Hari Malaysia yang disambut semalam itu turut disertai masyarakat Sabah dan Sarawak yang menetap di Lembah Klang.

9. KUALA LUMPUR 17 Sept. – Walaupun bersedih dengan pemergian Datuk Dr. Haron Din di San Francisco, Amerika Syarikat (AS), para petugas Pusat Rawatan Darus¬syifa (Darussyifa) di Bandar Baru Bangi tetap meneruskan operasi seperti biasa bagi memenuhi amanat ulama tersohor itu yang juga pengasasnya.

10. KUALA LUMPUR 17 Sept. - PM Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa orang ramai mengemukakan cadangan dan mengundi idea yang dilontarkan umum bagi dijadikan inti pati Bajet 2017. Cadangan dan undian itu boleh dilakukan dengan melayari ruangan Galeri Idea yang disediakan.

11. KUALA LUMPUR 17 Sept. – Kebiadaban Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menghina Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din melayakkan beliau digelar sebagai ‘Ahli Parlimen paling kurang ajar’ di negara ini. Reaksi Jeff berhubung pemergian Haron melalui Twitter yang berbunyi ‘Adios Harun Din. Let there be peace’ membayangkan kebenciannya terhadap kepemimpinan Pas.

12. KOTA BHARU 17 Sept. – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin Parti Amanah Rakyat (PAN) pada akhirnya akan ‘melutut’ dan mengiktiraf kekuatan Pas dalam persada politik negara berban¬ding parti serpihan itu. Malah, parti-parti lain yang menjadi sekutunya dari dahulu lagi terpaksa bergantung kepada Pas untuk meraih sokongan rakyat memandangkan komitmen tinggi ahli Pas.

13. KUALA LUMPUR 17 Sept. - Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan Deklarasi Pembangkang kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah adalah seperti menafikan hak lebih 13 juta pengundi di negara ini. Penyerahan deklarasi berkenaan juga dilihat hanya untuk meneruskan kelangsungan politik bekas Perdana Menteri itu.

14. SHAH ALAM 17 Sept. – Kerajaan PKR Selangor didesak menyatakan secara terperinci bilangan rumah mampu milik yang telah dibina di bawah program Rumah Sela¬ngorku dan jumlah yang ditawarkan kepada pembeli. ADUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, tindakan tersebut perlu memandangkan terdapat aduan diterima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada pembeli yang mendakwa permohonan mereka menerusi pendaftaran tidak direkodkan apabila dibuat semakan.

15. TAWAU, 17 Sept - Majikan kepada tiga warga Filipina yang diculik tujuh lelaki bersenjata di perairan Pulau Pom Pom di Semporna Sabtu lepas menerima panggilan meminta wang tebusan bernilai 2 juta Peso (RM180,000). Karim Musappa, 30, menerima panggilan daripada seorang mangsa culik Masurin, 50-an, pada Isnin lepas dan menyebut mengenai wang tebusan yang diminta penculik.

16. IPOH, 17 Sept - Sebuah kilang kimia yang memproses produk kloralkali mengalami kebocoran gas klorin sehingga mengeluarkan bau tidak menyenangkan penduduk di Kampung Baru Bukit Merah, Menglembu di sini pagi tadi. Phak bomba mendapat panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.03 tengah hari tadi.

17. KOTA SAMARAHAN, 17 Sept - Ismandi Osman, 38, yang dilaporkan hilang ketika memeriksa pukat di tebing sungai Kampung Pinang, di sini semalam dipercayai dibaham buaya. Kesimpulan itu dibuat selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diadakan hari ini menemukan kesan pergelutan di tebing sungai tempat mangsa memeriksa pukatnya.

18. KUDAT, 17 Sept - Penjenayah rentas sempadan yang berada di sekitar kepulauan di selatan Filipina merupakan pembeli utama minyak petrol dan diesel yang diseludup dari Sabah. Kumpulan penjenayah berkenaan memperoleh sumber kewangan hasil daripada kegiatan jenayah penculikan dan rompakan yang mereka lakukan di sekitar perairan Filipina, Malaysia dan Indonesia.

19. KUALA LUMPUR, 17 Sept - Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa syukur kerana urusan pengebumian jenazah Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berjalan lancar. "Alhamdulillah, dimaklumkan urusan pengebumian jenazah Allahyarham Datuk Dr Haron Din di Amerika Syarikat telah selesai dan berlangsung lancar.” kata perdana menteri dalam catatan terbaharu laman Facebook dan Twitternya.

20. KOTA KINABALU, 17 Sept - Cadangan menambah satu kerusi baharu bagi Parlimen Kinabatangan dilihat mampu merealisasikan aspirasi kerajaan dalam memberi pembangunan seimbang antara wilayah di kawasan itu, kata anggota Parlimennya Datuk Bung Moktar Radin.

21. KUANTAN, 17 Sept - Seorang awak-awak bot dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh daripada bot di perairan Pulau Tioman dekat Rompin Khamis lepas. Dalam kejadian 11 malam itu, mangsa Muhamad Saifudin Mamat, 32, yang beralamat di Endau, Johor disyaki terjatuh ke dalam laut ketika nelayan Hairil Azwan Rahmat, 37, sedang membaiki pukat. 

22. BUKIT MERTAJAM, 17 Sept - Seorang lelaki sesat lebih 10 jam ketika mendaki Bukit Tok Kun, di sini selepas tersasar dari laluan serta gagal mencari jalan untuk turun petang semalam. Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.13 malam memaklumkan mangsa, Chua Lee Heng, 58, sesat di atas bukit itu.

23. SINGAPURA, 17 Sept - Seorang penganggur warga Malaysia dijatuhi hukuman penjara dua minggu selepas mengaku bersalah terhadap tiga daripada 31 dakwaan memalsukan pas masuk mudah alih untuk memasuki beberapa ruang rehat di Lapangan Terbang Changi, di sini.

24. HULU TERENGGANU, 17 Sept - Operasi mencari dan mengesan seorang remaja lelaki yang dikhuatiri hilang di Sungai Getang, di sini semalam diperluas sehingga jarak satu kilometer. Seramai 10 penyelam skuba daripada jabatan bomba juga terbabit melakukan pencarian.

25. GEORGE TOWN, 17 Sept - Polis Pulau Pinang menafikan terdapat ancaman oleh Daesh di negeri ini dan meminta orang ramai supaya bertenang. Imej anggota polis yang membuat rondaan di pusat membeli-belah yang disebarkan media sosial semalam merupakan gambar lama dan situasi itu bukan berlaku di Pulau Pinang.

26. TUARAN, 17 Sept - Lima puluh belia dari Institut Perguruan Kent, menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan menerusi Program 1Malaysia For Youth (iM4U) dengan menanam benih pisang dan sayur organik Sabah di Pusat Orang Buta Tuaran, di sini hari ini.

27. MELAKA, 17 Sept - Dalam usaha membantu rakyat kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri, DMDI Finance House Berhad (DMDIFH) telah meluluskan 62 permohonan pinjaman perumahan kos rendah dengan jumlah RM2 juta sejak Julai tahun lepas. Syarikat itu hanya memberikan pinjaman untuk rumah kos rendah bernilai maksima RM50,000 dengan tempoh bayaran balik 25 tahun dan faedah enam peratus setahun.

28. PUTRAJAYA, 17 Sept - Sebanyak 30 motosikal berkuasa tinggi menyertai program Konvoi Kembara Merdeka anjuran Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang melibatkan perjalanan lebih 1,000 kilometer bermula hari ini hingga Isnin. Program itu dianjurkan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia selain memperkenalkan fungsi dan peranan bahagian berkenaan kepada orang ramai.

29. BAITULMAQDIS 17 Sept. - Seorang penggubal undang-undang Israel menggemparkan ‘dunia’ rejim Zionis apabila mendakwa bekas Presiden Israel, Shimon Peres, 93, yang kini sedang menderita akibat angin ahmar, bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pertumpahan darah yang berlaku di Palestin. Dakwaan tersebut dicetuskan oleh Basel Ghattas yang juga seorang ahli Parlimen Israel berketurunan Arab.

30. IPOH, 17 Sept - Polis meminta saksi kejadian kes pembuangan bayi yang ditemukan di dalam tong sampah di kafeteria Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini supaya tampil bagi membantu siasatan polis. Polis menerima laporan mengenai penemuan mayat seorang bayi oleh seorang pekerja hospital itu kira-kira 11.10 pagi tadi ketika sedang melakukan kerja pembersihan. 

31. KUALA LUMPUR, 17 Sept - Golongan belia digalakkan untuk mendaftar dan mengundi pada pilihan raya umum ke-14 akan datang kerana mereka memainkan peranan penting untuk membentuk masa depan negara. Golongan belia juga memainkan peranan penting dalam pembangunan dan membangunkan negara.  

32. PUTRAJAYA, 17 Sept - Kementerian Pendidikan Tinggi telah menghantar pegawainya ke Mesir untuk berjumpa dengan pelajar Malaysia di negara itu yang menghadapi masalah pembiayaan pengajian seperti dilaporkan baru-baru ini. Matlamat rombongan tersebut adalah untuk berjumpa dengan pemegang taruh dan juga membuat misi pencarian fakta agar gambaran penuh isu tersebut ini dapat diperolehi.

33. KUALA LUMPUR, 17 Sept - Malaysia mengulangi gesaan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) supaya menggunakan pelbagai kaedah yang ada untuk mewujudkan situasi bagi keamanan dan mempengaruhi pendirian pihak-pihak berkaitan untuk menyelamatkan usaha penyelesaian berasaskan dua negara terhadap konflik Israel-Palestin. 

34. KOTA KINABALU, 17 Sept - Cadangan 13 kerusi tambahan bagi kawasan persempadanan Dun adalah berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan dan amalan dalam sistem demokrasi negara. Perlembagaan memperuntukkan bahawa proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu boleh dilaksanakan setiap lapan tahun. 

35. JOHOR BAHRU, 17 Sept - SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJ) mengumumkan lanjutan bekalan air berjadual di Mersing mulai semalam sehingga 15 Oktober depan. Langkah melanjutkan bekalan air berjadual berkenaan berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Mersing dan LRA Tenglu masih tidak berupaya membekalkan air terawat yang mencukupi.  

36. KUALA LUMPUR, 17 Sept - Pas membangkang dan menentang secara profesional, kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasruddin Hassan. Pas secara konsisten menentang apa jua program, kerajaan yang tidak baik dan menekan rakyat seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), Bauxite, Cukai Perkhidmatan dan Barang (GST) dan lainnya. 

37. ALOR SETAR, 17 Sept - Seorang remaja menerima padah gara-gara ingin memiliki nombor plat motosikal cantik apabila ditahan dalam Ops Samseng Jalanan, di dataran hadapan Masjid Zahir, di sini, semalam. Disebabkan tindakan Faizal (bukan nama sebenar), 21, dia yang datang dari Pendang akhirnya menerima tiga saman dari polis atas pelbagai kesalahan trafik berbeza dilakukannya.

38. BALING, 17 Sept - Setiap kali berlakunya kematian atau musim kenduri, penduduk Kampung Tebing Tinggi Mukim Kupang terpaksa menghubungi Syarikat Air Darul Aman (Sada) bagi mendapatkan bekalan air yang dikatakan menjejaskan ratusan penduduk berkenaan. Menurut seorang penduduk, Abu Hassan Pak Muda, 58, mereka terpaksa menunggu bekalan air dihantar Sada bagi memandikan jenazah dan mengendalikan kenduri. 

39. JOHOR BAHRU, 17 Sept - Sepucuk pistol angin (airsoft gun) ditemui apabila polis mencekup sepasang kekasih yang berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Mutiara Emas 10/19, Mount Austin, semalam. Dua suspek yang diberkas berjaya dikesan anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.  

40. GOPENG, 17 Sept - Dua mangsa yang maut dalam kemalangan di kilometer 294.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara malam tadi dikenal pasti sebagai Ibrahim Abu, 44, dan adiknya, Siti Aishah Abu, 22. Ibrahim adalah pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max itu manakala Siti Aishah pula adalah penumpang dan mereka bersama tiga lagi penumpang lain adalah dari Taman Bandar Baru, Pokok Sena, Kedah.

41. TANJUNG MALIM, 17 Sept - Sebanyak 10 peratus daripada 540 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh Perak yang tidak aktif dalam aktiviti bersama ahlinya bakal berdepan dengan tindakan digantung geran tahunan.  

42. SERI ISKANDAR, 17 Sept - Sebanyak 42 pasangan pengantin dari seluruh Perak selamat diijabkabulkan dalam Majlis Nikah Jama’ie Syar’ie Peringkat Perak di Masjid Sultan Yussuf Izzuddin Shah, di sini, semalam. Kesemua pasangan pengantin berkenaan dinikahkan oleh 42 jurunikah termasuk Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria. 

43. KUALA SEPETANG, 17 Sept - Keluarga seorang nelayan yang didakwa menjadi mangsa pukul hingga mati dalam kejadian 5 September lalu, berharap mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan. Saudara mangsa, Ng Kok Chen, 33, berkata, mangsa, Lim Chin Aik, 33, dipercayai dipukul oleh sekumpulan lelaki di kawasan stesen minyak di Segari.  

44. KUALA PILAH, 17 Sept - Sebuah taman permainan di Taman Jemapoh Murni, di sini, diibaratkan 'perangkap maut' apabila alat permainan di situ kebanyakannya sudah uzur dan rosak, sekali gus mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak yang bermain di kawasan berkenaan. Didapati alat permainan seperti jongkang jongkit, buaian, kuda-kuda dan papan gelongsor telah banyak yang rosak dan berisiko mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak. 

45. KUALA PILAH, 17 Sept - Seorang suri rumah ketakutan selepas menerima ugutan dari seorang lelaki yang tidak dikenali mendakwa memiliki video separuh bogel miliknya. Mangsa yang berusia 35 tahun itu mendapati dirinya telah dirakam ketika mandi di rumahnya di perkampungan Orang Asli dalam daerah ini, kira-kira jam 2.50 pagi, Rabu lalu.

46. KUANTAN 17 Sept. - Seramai 19 penumpang sebuah bas ekspres nyaris maut apabila bas yang mereka naiki itu terbabas dan terbalik lalu jatuh ke lereng bukit berhampiran simpang ke Tabung Haji di Jalan Keratong dekat Rompin petang ini. Pihak bomba mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada 4.02 petang dan jentera tiba di lokasi 26 minit kemudian.

47. GEORGE TOWN, 17 Sept - Ahli farmasi boleh memainkan peranan dalam mendidik orang awam tentang bagaimana untuk mengelakkan jangkitan virus Zika, kata Pengarah Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan, Dr Salmah Bahri. Ahli farmasi dapat membantu Kementerian untuk menangani jangkitan virus Zika dengan mendidik orang tramai mengenai kebersihan kerana vektor itu sama dengan denggi.

48. KUALA LUMPUR, 17 Sept - Malaysia mengulangi gesaan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) supaya menggunakan pelbagai kaedah yang ada untuk mewujudkan situasi bagi keamanan dan mempengaruhi pendirian pihak-pihak berkaitan untuk menyelamatkan usaha penyelesaian berasaskan dua negara terhadap konflik Israel-Palestin.

49. KOTA BHARU, 17 Sept - Projek naik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini dijangka bermula awal tahun depan, kata Menteri MITI Datuk Seri Mustapa Mohamed. Kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan bagi projek tersebut yang akan menelan belanja antara RM300 dan RM400 juta.

50. KEPALA BATAS, 17 Sept - Polis menasihatkan jawatankuasa masjid dan surau di sini supaya mengosongkan tabung yang terdapat di rumah ibadat berkenaan setiap hari bagi mengelak kejadian kecurian atau pecah tabung. Kes kecurian dan kehilangan wang itu perlu dibendung dengan tidak memberi ruang serta peluang kepada penjenayah untuk mendapatkan hasil daripada perbuatan mereka.

51 SINGAPURA 17 Sept. - Seorang penganggur warga Malaysia, Raejali Buntut dijatuhi hukuman penjara dua minggu selepas mengaku bersalah terhadap tiga daripada 31 dakwaan memalsukan pas masuk mudah alih untuk memasuki beberapa ruang rehat di Lapangan Terbang Changi, di sini. 

52. IPOH 17 Sept. - Mayat seorang bayi yang cukup sifat ditemui di dalam tong sampah di kafeteria Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pagi tadi. Mayat bayi yang belum diketahui jantina itu ditemui seorang tukang cuci dalam keadaan sudah berulat kira-kira pukul 10.55 pagi.

53. PONTIAN 17 Sept. – Seorang lelaki berusia 26 tahun dikhuatiri lemas ketika cuba menarik tali bot yang terputus ketika memancing di Kelong Sri Pantai, Pontian Besar, dekat sini awal pagi ini. Mangsa, Didi Nazri Jafri pergi ke kelong milik datuknya, Kamal Abu Bakar bersama-sama tiga lagi rakannya untuk memancing.

54. KULAI 17 Sept. - Orang ramai terutamanya pengguna jalan raya diminta berhati-hati kerana berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Belian 2, Bandar Putra Kulai, di sini awal pagi ini. Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau harta benda dilaporkan.

55. KUALA LUMPUR 17 Sept. - Pemilik sebuah kedai perabot di Bandar Sri Damansara, di sini terpaksa berputih mata apabila premis yang terletak di tepi Jalan Kuala Selangor menghala ke Sungai Buloh itu musnah dalam kebakaran, hari ini.

56. KOTA BHARU 17 Sept. - Timbalan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob akan memangku jawatan Mursyidul Am parti itu selepas pemergian Allahyarham Datuk Dr. Haron Din semalam. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kepimpinan tertinggi parti akan bermesyuarat bagi menentukan siapa yang layak memegang jawatan itu.

57. KUALA LUMPUR 17 Sept. – Parti Gerakan sanggup ‘membiayai’ perhimpunan Bersih 5 seandai¬nya perhimpunan itu diadakan di stadium. Mereka sanggup menawarkan RM20,000 untuk membayar sewa satu hari stadium berkenaan. Setakat ini mereka sudah mempunyai RM17,500 dan bakinya akan disumbangkan oleh Pergerakan Pemuda Gerakan.

58. KUALA LUMPUR 17 Sept. - Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sedang menunggu maklumat lanjut daripada pasukan penyiasat yang menjalankan analisis terhadap serpihan pesawat yang ditemukan di Tanzania, timur Afrika pada 20 Jun lalu. 

59. KUALA LUMPUR 17 Sept. – Bekas Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib, 70, meninggal dunia di Hospital Gleneagles, di sini kira-kira pukul 10.00 malam tadi akibat komplikasi kanser hati.
Jenazah beliau yang juga bekas Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas di sini, kira-kira pukul 10.50 pagi tadi.

60. SEPANG 17 Sept. – Kumpulan pertama 450 jemaah haji Malaysia dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 10.50 pagi esok menerusi penerbangan Saudi Arabia SV5644. Mereka akan berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah ke tanah air pada 9 malam waktu tempatan (3 pagi Ahad waktu Malaysia).

61. NEW YORK 17 Sept. – Mangkuk tandas bersalut emas di Muzium Solomon R. Guggenheim, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan dibuka untuk kegunaan umum mulai semalam. Mangkuk tandas yang berfungsi sepenuhnya itu disifatkan 100 peratus hasil kerja seni yang boleh dibanggakan. Hasil kerja seni itu bernilai sehingga AS$1.7 juta (RM7.03 juta).

62. BANGKOK 17 Sept. – Seorang pelancong China yang hilang selama dua hari ketika menyertai satu lawatan di Zoo Harimau Sriracha, Thailand akhirnya ditemukan ketika sedang membasuh kain di sebatang anak sungai. Bagaimanapun, pelancong berkenaan, Gao Li Ping dilaporkan seperti tidak gembira ketika ‘diselamatkan’ anggota polis dan menangis teresak-esak. Wanita yang mengalami tekanan perasaan itu dalam proses untuk bercerai dengan suaminya di China sebelum mengikuti lawatan ke Thailand. 

63. WASHINGTON 17 Sept. – Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Donald Trump terus mencetus kontroversi selepas dilaporkan memberikan isyarat tersirat ‘pembunuhan’ seteru beliau, Hillary Clinton. Kenyataan kali kedua di Miami semalam itu dibuat sebulan selepas Trump dituduh menggalakkan pemilik senapang untuk membunuh Hillary jika calon Presiden daripada Parti Demokrat itu memenangi pilihan raya 8 November ini.

BERITA SUKAN:

1. KUCHING 17 Sept. - Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) kini tanpa presiden selepas tiada calon yang berminat dengan jawatan itu pada mesyuarat agung persatuan tersebut hari ini. Malah Datuk Sudarsono Osman yang telah menegaskan tidak akan mempertahankan jawatan presiden apabila penggalnya berakhir hari ini, tetap menolak pencalonan beliau dengan alasan mempunyai komitmen lain yang terlalu banyak.

2. PETALING JAYA 17 Sept. - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghadiahkan sejumlah RM1.4 juta insentif ke atas skuad badminton negara yang beraksi pada Sukan Olimpik Rio 2016 atas kejayaan meraih kecemerlangan luar biasa. Antara yang menerima insentif tersebut ialah pemenang pingat perak dalam saingan perseorangan, Datuk Lee Chong Wei (RM250,000); beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (RM375,000) dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (RM375,000).

3. GEORGE TOWN, Sept 17 - Beratus-ratus orang berkumpul di Kompleks Belia dan Sukan negeri di Batu Uban awal pagi tadi untuk menyertai program 'Possible Run' dengan tekad untuk menurunkan berat badan. Larian itu berbeza daripada aktiviti larian lain kerana ia mengutamakan mereka yang obes menyertai program itu.

4. PETALING JAYA, 17 Sept - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang mempertahankan kejuaraan bola sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari selepas mengalahkan SMK Sultan Sulaiman Shah, Kuala Selangor, 4-0 pada final di sini hari ini. Pada perlawanan di Kompleks di Kompleks Sukan, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini, juara bertahan itu membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi Nazrin Aiman Azmi.

5. ALOR SETAR 17 Sept. - Kejayaan atlet paralimpik negara meraih pingat dalam Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil merupakan kemegahan besar buat negara walaupun terselit 1,001 kisah suka dan duka. Di sebalik kejayaan luar biasa itu, mereka pernah melalui saat sukar apabila kehilangan rakan seperjuangan yang ketika itu berada di puncak prestasi seperti pelari pecut paralimpik Azlan Mat Lazim.

6. LONDON 17 Sept. - Jurgen Klopp berkata Liverpool bermain begitu bersungguh-sungguh ketika menumpaskan Chelsea 2-1 di Stamford Bridge (awal pagi hari ini waktu Malaysia). Jaringan daripada Dejan Lovren dan Jordan Henderson sudah memadai untuk memberikan kemenangan kedua Klopp di Stamford Bridge dalam persaingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak jurulatih dari Jerman itu mula mengendali Reds pada musim lalu.

7. KUALA LUMPUR 17 Sept. – Hendrawan akhirnya sah terus bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang membuat keputusan untuk memperbaharui kontraknya selama dua tahun lagi selain akan menambah seorang lagi jurulatih untuk pemain perseorangan. Mesyuarat exco telah bersetuju untuk menyambung kontrak jurulatih perseorangan lelaki negara berusia 44 tahun dari Malang, Indonesia itu.

8. KUALA LUMPUR 17 Sept. – Momentum kemenangan skuad bola sepak Bawah 19 negara dalam perlawanan ketiga Kumpulan A Kejuaraan AFF B-19 akhirnya terhenti selepas tewas kepada Timor Leste 2-3 di Pusat Latihan Belia Vietnam di Hanoi hari ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan