1. SANDAKAN 29 Jan. - Tindakan pengusaha sebuah syarikat pelancongan menggunakan bot Catamaran bagi memuatkan 31 orang termasuk 28 pelancong warga China untuk menikmati percutian di Pulau Menggalum semalam dipercayai menjadi punca bot berkenaan pecah akibat dipukul ombak setinggi lebih empat meter.
2. KUALA LUMPUR 29 Jan. - Pas tidak gentar dengan ugutan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk mengemukakan saman terhadap Presidennya, DSeri Abdul Hadi Awang kerana menuduhnya sebagai anti-Islam. Malah, menyifatkan Kit Siang sebagai seorang ahli politik yang bacul jika tidak mengotakan kata-katanya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Abdul Hadi.
3. KUALA LUMPUR 29 Jan. – Lagak DAP bagaikan seperti sebuah kumpulan samseng kepada musuhnya ketika cuba mencari perdamaian dengan Pas, dengan sikap yang dipamerkan itu meruncingkan pertelingkahan selain mempersendakan lawan. Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, DAP tanpa segan silu menghulurkan salam perdamaian dengan partinya hanya melalui media. Sikap itu katanya tidak mempamerkan adab orang yang mahu berdamai.
4. KOTA KINABALU 29 Jan. – Operator bot pelancong yang membawa 28 pelancong China yang karam ke Pulau Menggalum, di sini telah melanggar peraturan kerana berlepas dari Jeti Kampung Tanjung Aru, semalam. Jeti itu tidak memperolehi kebenaran untuk membuat pelepasan bot pelancong.
5. NEW YORK 29 Jan. - Hanya selepas 24 jam dilaksanakan, sekatan terhadap pelarian diperkenalkan oleh Presiden AS, Donald Trump mendapat tamparan apabila Mahkamah Persekutuan mengeluarkan perintah menghalang penghantaran pulang kumpulan pelarian dan pendatang yang tidak dibenarkan memasuki negara ini.
6. KOTA KINABALU 29 Jan. - Dua lelaki dan seorang wanita maut dalamkejadian bot pelancong karam di perairan dekat Pulau Mengalum. Mereka adalah antara 25 orang yang dijumpai selepas kejadian bot pelancong jenis Catamaran, yang membawa tiga kru dan 28 pelancong China, karam dalam perjalanan dari Jeti Tanjung Aru di sini ke Pulau Mengalum semalam.
7. ALOR SETAR 29 Jan. - Seorang pekerja bengkel kereta melecur pada bahagian muka dan tangan selepas pam air untuk mencuci enjin kereta terbakar di Jalan Tandop, di sini hari ini. Kejadian pada kira-kira pukul 7 petang itu turut menyebabkan bahagian hadapan dan lampu sebuah kereta Volkswagen Polo GTI terbakar.
8. JOHOR BAHRU 29 Jan. - Johor Disaster Medical Response Vehicle (JDMRV) berjaya membantu kerajaan negeri dalam operasi banjir sejak bencana alam itu melanda Johor Isnin lalu. Antara kelebihan JDMRV adalah mampu mengharungi banjir dan merentasi permukaan tanah tidak rata yang sukar dilalui kenderaan pacuan empat roda lain.
9. SANTUBONG 29 Jan. - Kementerian Kerja Raya akan melakukan kajian merangkumi aspek teknikal dan kos bagi menilai kesesuaian getah sebagai bahan untuk menurap jalan. Menterinya, DSeri Fadillah Yusof berkata, kajian tersebut dijangka siap tahun ini dan bertujuan mengukur kekuatan campuran bitumen serta ketulan getah.
10. IPOH 29 Jan.- Seorang pengawal keselamatan mati dipercayai akibat terjatuh ke dalam lubang sedalam 1.2 meter di kawasan tapak pembinaan di Gunung Lang di sini hari ini. Mangsa C.Mogan,53, yang bekerja menjaga tapak pembinaan tersebut dipercayai maut lebih tiga jam sebelum mayatnya di temui tertiarap oleh rakan sekerja pada kira -kira pukul 4.30 petang.
11. SANDAKAN 29 Jan. - Sebanyak 25 daripada 31 mangsa termasuk 28 warga China yang hilang ketika dalam perjalanan dari Tanjung Aru ke Pulau Mengalum ditemukan selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR). Menteri di JPM DSeri Shahidan Kassim berkata, usaha mencari enam yang masih hilang akan diteruskan.
12. MELAKA 29 Jan. - Seorang anggota polis wanita dan anak lelakinya maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 199.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, awal pagi tadi. Noor Aini Hamdan, 27, dan anak lelakinya Muhammad Aisy Aryan Mohd. Taufik,1, maut di tempat kejadian manakala suaminya Mohd. Taufik Rosli, 34, tidak cedera dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu.
13. KUALA LUMPUR 29 Jan. - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam sungai Kilometer 6, Jambatan Sungai Choh, Koskan, Jalan Sg. Choh-Bukit Sentosa, Selangor, semalam ditemukan maut. Mangsa, M. Siva Raj, 21, ditemukan tersangkut pada perangkap sampah Kg. Orang Asli yang terletak kira-kira lima kilometer dari tempat keretanya terjunam.
14. IPOH 29 Jan. - Kerajaan Negeri Perak tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dan pihak yang menyelewengkan duit atau memalsukan dokumen bagi kepentingan sendiri. MB DSeri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sebarang perlakuan yang mendatangkan imej buruk kepada negeri ini perlu dilaporkan kepada beliau bagi mengelakannya berleluasa.
15. KOTA KINABALU 29 Jan. - Dua kru bot pelancong jenis Catamaran, yang karam dengan 28 pelancong China ketika menuju ke Pulau Mengalum dari Kota Kinabalu semalam, dipercayai berada di laut selama kira-kira 18 jam sebelum diselamatkan awal hari ini.
16. KOTA BHARU 29 Jan. - Keadaan banjir di Kelantan pulih sepenuhnya hari ini selepas sebuah pusat pemindahan terakhir yang menempatkan 14 mangsa daripada dua keluarga di Kuala Krai, ditutup pada 1 tengah hari tadi. Kesemua mangsa di pusat pemindahan tersebut telah dibenarkan pulang pada tengah hari tadi.
17. SEREMBAN 29 Jan. - Seorang pemuda berusia 21 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum dilanggar sebuah kereta Perodua Viva di Kilometer 280.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Nilai dekat sini malam tadi. Mangsa, Abu Burhan Isa yang berasal dari Taman Jaya, Kemayan, Pahang meninggal dunia manakala pemandu wanita berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
18. JOHOR BAHRU, 29 Jan - Polis mencari individu atau orang awam yang boleh memberi maklumat berhubung kejadian bunuh seorang lelaki menggunakan senjata tajam di Jalan Wadi Hana dekat sini, pada Khamis. Dalam kejadian itu, lelaki berusia 36 tahun itu yang tinggal di Kota Masai parah pada bahagian badan, tangan, mulut, mata dan kepalanya.
19. IPOH 29 Jan. - Pusat pemindahan di SK Pengkalan Ara, Labu Kubung di Daerah Hilir Perak yang menempatkan 31 orang mangsa banjir ditutup pada pukul 3.30 petang tadi. Kesemua mangsa dari 10 buah keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir pulih sepenuhnya.
20. KUALA LUMPUR 29 Jan. - Suasana di perkarangan Dataran Merdeka di sini gamat dan meriah sebaik paluan gendang, gong dan simbal bergema semasa persembahan kebudayaan tarian singa bersempena sambutan Tahun Baharu Cina. Warga tempatan dan pelancong asing kelihatan terpaku melihat kelincahan aksi penari yang mengenakan kostum singa berwarna-warni.
21. TAPAH 29 Jan. - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mati lemas setelah terjatuh ke dalam sungai di Kampung Simpang Tiga, Sungai Gedong, Bidor dekat sini hari ini. Mangsa, Nur Liya Zafirah Yusman Rizal dilaporkan terjatuh ke dalam sungai pada pukul 11.35 pagi.
22. TANGKAK 29 Jan. - Banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah ini tidak menghalang sepasang pengantin meneruskan hari bersejarah mereka di pusat pemindahan banjir SK Simpang 5 Darat, di sini semalam. Pasangan itu, Fatin Safiqa Atira Samsudin, 24, dan Mohamad Zafrie Mirza Mohd. Lazim, 26, dinikahkan di pusat pemindahan berkenaan malam tadi selepas rumah pengantin perempuan di Kg. Simpang 5 Darat, dinaiki air sejak selasa lalu.
23. SANTUBONG 29 Jan. – Gara-gara tidak mengendahkan amaran pengawal pantai, dua daripada lima lelaki Indonesia dikhuatiri lemas selepas hilang ketika berenang di Pantai Damai Central hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, Osman Umar, 20, dan Rusmana, 40, hilang selepas dihanyutkan ombak besar manakala tiga lagi rakan mereka sempat menyelamatkan diri.
24. JOHOR BAHRU 29 Jan. - Jumlah mangsa banjir di negeri ini semakin berkurangan apabila setakat pukul 2 petang ini, seramai 2,248 mangsa daripada 605 keluarga masih ditempatkan di 33 pusat pemindahan. Tiga daerah di negeri ini yang masih terjejas akibat banjir adalah Segamat, Tangkak dan Muar.
25. ALOR SETAR 29 Jan. - Kedah akan mewujudkan zon bebas cukai kedua di negeri itu selepas Pulau Langkawi di atas tapak seluas 6,000 hektar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dan swasta di Bukit Kayu Hitam. Perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-17 di Putrajaya baru-baru ini yang dipengerusikan PM DSeri Najib Tun Razak.
26. KOTA KINABALU 29 Jan. – BN Sabah tidak akan menghadapi masalah sekiranya pilihan raya umum (PRU) ke-14 diadakan lebih awal kerana tahap kesiapsiagaannya adalah tinggi. Timbalan Ketua Menteri, TSri Joseph Pairin Kitingan berkata, semua parti komponen BN Sabah sudah bersedia.
27. BUKIT MERTAJAM 29 Jan. - Seekor buaya yang dianggarkan sepanjang lima meter ditemukan berjemur di tepi paya di Kampung Kubu dekat Guar Jering di sini petang semalam. Kehadiran buaya itu disedari beberapa penduduk kampung yang kebetulan ingin memancing di kawasan itu. Bagaimanapun setakat ini, APM gagal menemukan buaya itu yang dipercayai bersembunyi di dalam semak berhampiran.
28. TEMERLOH 29 Jan. - Paras air dua sungai utama di daerah ini iaitu Sungai Pahang dan Sungai Semantan menunjukkan trend penurunan sejak awal pagi ini. Pada masa ini Sungai Pahang berada pada paras 32.98 meter berbanding 33.31 meter semalam manakala Sungai Semantan pada paras 49.56 meter berbanding 49.85 meter sebelum ini.
29. KOTA BHARU 29 Jan. - Malaysia akan meningkatkan perdagangan dengan negara ASEAN dan Asia selepas pengunduran Amerika Syarikat (AS) daripada TPPA pada 23 Januari lepas. Menteri MITI DSeri Mustapa Mohamed berkata, negara anggota ASEAN akan menjadi tumpuan utama perdagangan Malaysia, diikuti dengan China, Korea Selatan, Jepun serta India.
30. KOTA KINABALU 29 Jan. - Pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dikerah untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) 28 pelancong China yang hilang ketika dalam perjalanan dari Tanjung Aru ke Pulau Mengalum. Pesawat berkenaan telah diaktifkan kerana operasi SAR mengalami kesukaran berikutan keadaan laut bergelora.
31. SABAK BERNAM 29 Jan. - Sebuah kilang pallet dan plastik musnah terbakar hampir 70 peratus dalam insiden di Pekan Sabak Bernam di sini, pagi ini. Ketua Operasi dan Penyelamat Bomba Sabak Bernam, Mohd. Saufi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.06 pagi.
32. BUKIT MERTAJAM 29 Jan. - Satu janin bayi lelaki yang dianggarkan berusia enam bulan ditemukan di dalam tong sampah di Blok A, berhampiran asrama Mattel di Taman Perwira, Bukit Tengah malam tadi. Janin yang berbalut dengan sehelai seluar berwarna putih itu ditemukan oleh seorang pengawal keselamatan yang sedang mencari tin kosong untuk dijual di kawasan itu kira-kira pukul 8 malam.
33. KUANTAN 29 Jan. - Seramai 6,354 mangsa banjir daripada 1,699 keluarga masih ditempatkan di 108 pusat pemindahan sementara di tujuh daerah di negeri ini sehingga pukul 8 pagi ini. Temerloh mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,970 orang daripada 746 keluarga.
34. KAHERAH 29 Jan. - Sebanyak lima penumpang warga Iraq dan seorang rakyat Yemen dihalang daripada menaiki pesawat penerbangan EgyptAir dari Kaherah ke New York ekoran larangan lawatan dari tujuh buah negara ke Amerika Syarikat (AS) oleh Presiden, Donald Trump, kelmarin.
35. MANILA 29 Jan. - Seorang pemimpin kumpulan militan Abu Sayyaf yang disenaraikan sebagai pengganas paling dikehendaki Amerika Syarikat (AS) dilapor cedera parah dalam serangan udara tentera Filipina di selatan negara ini, Rabu lalu.
36. SRINAGAR 29 Jan. - Sebanyak lima anggota tentera India berjaya diselamatkan hidup-hidup, semalam selepas mereka ditimbus salji tebal di Kashmir yang turut menyebabkan 20 orang terbunuh akibat runtuhan salji, awal minggu ini. Insiden berlaku ketika kesemua anggota itu menghampiri pos sempadan di Machil, barat laut Srinagar apabila laluan mereka yang lalui runtuh.
37. BERA 29 Jan. – Semua ketua kampung diminta mengenal pasti dan menyenaraikan maklumat kerosakan infrastruktur kampung dan menyalurkannya kepada pejabat daerah untuk tindakan pembaikan segera. Langkah itu penting dalam memastikan usaha membaiki kemudahan infrastruktur kampung dan pemberian bantuan dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan.
38. KUALA LUMPUR 29 Jan. - Pengembalian semula kuota jemaah haji Malaysia membuktikan pengiktirafan kerajaan Arab Saudi kepada Tabung Haji kerana tidak semua negara mendapat balik jumlah kuota jemaah yang dikurangkan sejak 2013 itu. Dalam hal ini, Arab Saudi amat menitikberatkan kualiti pengurusan haji dan Tabung Haji sebagai agensi terlibat terbukti berjaya memikul amanah ini dengan cemerlang.
39. KUALA LUMPUR 29 Jan. - Corporate Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC) menyasar untuk meluluskan sebanyak 35 peratus daripada RM4.7 bilion nilai pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera tahun ini. Peruntukan itu bersamaan 30 peratus daripada 9,500 PKS di dalam negara.
40. KLANG 29 Jan. – Tindakan tidak bertanggungjawab individu bukan beragama Islam membina sebuah tokong Cina menyerupai masjid di Jalan Makyong 5E/KU5, Bandar Bukit Raja di sini menimbulkan kemarahan penduduk. Tokong yang siap dibina Jumaat lalu itu bukan sahaja dicat dengan warna hijau dan kuning, tetapi lengkap dibina dengan kubah serta bulan sabit yang kebiasaannya menjadi simbol bagi sesebuah masjid.
41. KUALA LUMPUR 29 Jan. – Remaja yang ditemukan selamat selepas hilang di Bukit Broga, Semenyih dekat sini pada 22 Januari lalu, Mohd. Azarul Mukhriz Abd. Rahman, 20, mendakwa telah ‘dijaga’ oleh seseorang sepanjang tempoh seminggu kehilangannya.
42. PULAU PINANG 29 Jan. - Tun Dr. Mahathir Mohamad terus didesak menjelaskan dakwaan berhubung kerugian sebanyak AS$10 bilion (RM44 bilion) ketika era pentadbiran beliau tanpa menyembunyikan sebarang fakta. Naib Presiden PAP, Rahmad Isahak berkata, dakwaan itu sesuatu yang serius memandangkan tidak ada unsur salah laku dari sudut perundangan dikenakan kepada mana-mana pihak ketika itu.
43. YANGON 29 Jan. – Media antarabangsa mempersoal integriti sebuah suruhanjaya yang menyiasat kes rogol melibatkan wanita etnik Rohingya selepas didapati cuba memutar belit kenyataan mangsa ketika menemu bual mereka. Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi menubuhkan suruhanjaya tersebut untuk mendapatkan keterangan saksi tentang kejadian rogol yang berlaku di perkampungan etnik Rohingya.
44. KUALA LUMPUR 29 Jan. – Honda Malaysia menerima tempahan sebanyak 4,000 buah kenderaan Honda BR-V serba baharu setelah tiga minggu dilancarkan di Malaysia. Tempahan tersebut melebihi sasaran jualan awal iaitu sebanyak 800 buah kenderaan sebulan atau menyamai jangkaan jualan untuk tempoh lima bulan, menurut Honda Malaysia.
45. JOHOR BAHRU 29 Jan. - Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang akan menghubungkan bandar raya Singapura dengan Kuala Lumpur mampu meningkatkan kebolehsaingan Malaysia sebagai sebuah negara dagangan besar. Projek HSR yang merupakan landasan kereta api sepanjang 350 kilometer bukan sahaja mengeratkan dua bandar raya itu malah mencetuskan peluang perniagaan dengan lebih produktif dan kompetitif.
46. JOHOR BAHRU 29 Jan. – Memahami penderitaan yang dialami mangsa banjir di beberapa daerah di negeri ini, Sukerelawan Darul Ta’zim menggerakkan Ops Banjir Johor bagi mengumpul barang keperluan harian buat mangsa terjejas. Usaha dilakukan sejak seminggu lalu mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak yang tampil memberikan sumbangan.
47. MELAKA 29 Jan. – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bakal membina sebuah kompleks di Dataran Sungai Melaka sebagai usaha penambahbaikan sistem jualan tiket Melaka River Cruise kepada pengunjung. Pembinaan kompleks dua tingkat dikenali sebagai Grandpier itu dijangka bermula tahun ini dan pihaknya sedang dalam peringkat akhir perancangan memulakan projek.
48. GUA MUSANG 29 Jan. - Pengguna jalan Gua Musang-Lojing, dekat sini diminta berwaspada setiap kali melalui laluan itu berikutan beberapa kejadian tanah runtuh yang dilaporkan berlaku di sekitar kawasan tersebut. Kejadian tanah runtuh yang agak serius dikesan berlaku di kilometer 49 dan kilometer 54 apabila runtuhan tersebut hampir menutup laluan utama.
49. TEMERLOH 29 Jan. – Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) giat mengumpul dana daripada institusi masjid, pihak korporat dan orang ramai untuk disalurkan kepada masyarakat Islam Rohingya di Myanmar. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu akan mengadakan misi bantuan kemanusiaan ke penempatan etnik berkenaan di Myanmar selama dua minggu bermula minggu depan.
50. GUA MUSANG 29 Jan. – Seramai 90 pelajar Orang Asli yang tinggal di asrama SMK Sri Wangi, di sini hari ini menyertai program kesihatan dan penjagaan penampilan diri. Program tersebut julung kali diadakan dan merupakan anjuran Jakoa dengan kerjasama Majlis Belia Jajahan Gua Musang (MBJGM) dan pihak sekolah.
51. JERANTUT 29 Jan. - Sebanyak RM60,000 kerugian terpaksa ditanggung oleh dua keluarga warga emas di Kampung Paya Teh di sini akibat kerosakan harta benda dan tanaman ekoran banjir yang melanda daerah ini sejak empat hari lalu. Sejak mereka tinggal di kampung berkenaan bermula 1990, mereka sering kali berdepan musibah banjir kerana rumah mereka terletak di kawasan rendah berdekatan Sungai Pahang.
52. CYBERJAYA 29 Jan. - Formulasi biodiesel untuk pengasapan (fogging) nyamuk aedes wajar diper-kenalkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara sebagai langkah penjimatan kos bahan pengasapan diesel yang digunakan sekarang. Formulasi biodiesel yang dicipta daripada minyak masak terpakai itu dapat membunuh 70 peratus nyamuk dewasa hanya dalam tempoh satu jam.
53. PERMATANG PAUH 29 Jan. – Ibu bapa tidak sepatutnya menggunakan alasan kemiskinan untuk mengabaikan hak anak-anak untuk mendapat akses pendidikan di sekolah. Ini kerana pelbagai bentuk bantuan telah disediakan kerajaan kepada mereka yang layak dan seharusnya tidak timbul isu kanak-kanak yang terpinggir dari alam persekolahan.
54. IPOH 29 Jan. - Ekonomi negeri terus maju dan kukuh sehingga kini hasil kerjasama berterusan di antara semua pemain industri dan agensi kerajaan negeri. MB DSeri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sebagai contoh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) yang sentiasa bersama-bersama kerajaan negeri, berjaya meletakkan Perak sebagai antara penggerak utama sektor perindustrian.
55. JASIN 29 Jan - Penduduk di sempadan Melaka - Johor boleh menarik nafas lega apabila jambatan sementara yang menghubungkan dua daerah itu siap dibina semula pada Jumaat lalu. Laluan utama yang menghubungkan Sungai Rambai dan daerah Ledang itu sebelum ini dilaporkan runtuh disebabkan arus deras dalam kejadian 20 Januari lalu.
56. KUANTAN, 29 Jan - Seorang pelajar sebuah politeknik di Shah Alam, Selangor dikhuatiri lemas ketika sedang mandi manda bersama-sama enam rakannya di Pantai Cherating Lama dekat sini, hari ini. Pelajar lelaki berumur dalam lingkungan 20-an itu disedari hilang oleh rakannya pada 2.15 petang.
57. KUALA TERENGGANU, 29 Jan - Seorang Pegawai Jabatan Perikanan Terengganu lemas semasa mandi manda di Pantai Pandak, Chendering hari ini. Mayat Mohd Farid Abdullah, 45, ditemui terapung kira-kira 300 meter dari pesisir pantai itu pada 6.42 petang tadi oleh pasukan penyelamat dan orang awam.
58. KUALA TERENGGANU, 29 Jan - Keluarga ustazah Masni Ngah@Mohd Jaiz, 44, yang lemas selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam parit yang dipenuhi air banjir di Jalan Paya Rawa, Kampung Raja, Besut, Ahad lepas, menerima manfaat perlindungan takaful SSPN-i Plus berjumlah RM170,037.20.
59. PASIR MAS, 29 Jan - Impian tiga beradik berusia di antara lapan hingga 12 tahun untuk bersekolah akhirnya tercapai selepas berjaya memperoleh Sijil Kelahiran bersama-sama tiga lagi adik mereka hasil bantuan seorang ahli perniagaan. Siti Nur Syafiqa Abdullah, 12, Muhammad Syazwan Aiman, 10, serta Muhammad Syazwan Eqbal, 8, yang tidak memiliki Sijil Kelahiran sebelum ini menghadapi kesukaran untuk mendaftar sekolah walaupun dilahirkan di negara ini.
60. KOTA BHARU, 29 Jan - KPDNKK Kelantan mengesan segelintir kakitangan di stesen minyak di negeri ini bersubahat dengan penyeludup petrol ke negara jiran. Aktiviti itu dikesan dalam satu operasi di Tumpat pada Khamis lepas (26 Jan) selepas dua lelaki masing-masing berusia 30an berjaya ditahan dan hasil siasatan mendapati kegiatan mereka didalangi kakitangan sebuah stesen minyak.
*BERITA SUKAN:*
1. KUALA LUMPUR 29 Jan. - Ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya telah mengambil langkah kawalan dan pencegahan segera selepas lima mangsa terbaharu termasuk dua atlet dan seorang jurulatih disahkan menghidap denggi, ketika wabak sedang menular di Kompleks Sukan Bukit Jalil dekat sini, sejak seminggu lalu.
2. KUALA LUMPUR 29 Jan. - Kehangatan perebutan kerusi No. 1 FAM tidak terhenti di situ sahaja apabila seramai lima calon didedahkan untuk bersaing bagi mendapatkan jawatan Naib Presiden badan induk tersebut. Bendahari FAS, Datuk S. Sivasundaram; Pengerusi Liga Bola Sepak Rakyat (LBR), Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman dan Tim. Presiden KLFA, Datuk Astaman Abdul Aziz bakal bersaing bagi merebut jawatan Naib Presiden badan induk tersebut.
3. LIVERPOOL 29 Jan. – Jurgen Klopp bersedia menggalas tanggungjawab ekoran kekalahan mengejut Liverpool di pusingan keempat Piala FA kepada kelab Liga Kejuaraan, Wolves yang mencatat kemenangan 2-1 di Anfield.
4. BANGKOK, 29 Jan - Thailand menepati ramalan dengan merangkul kejuaraan Futsal AFF 2016 kali ke-12 selepas membelasah Myanmar 8-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Tertutup Huamark di sini hari ini. Menerima sokongan padu ribuan penyokong, pasukan tuan rumah bermula garang dengan menekan setiap inci kawasan pertahanan Myanmar yang mulai goyah akibat asakan bertali-arus itu.
5. SHAH ALAM, 29 Jan - Gandingan Noor Edrin Ezurin Noor Asmara dan Muhammad Zulhilmi Yazid dari pasukan Mendobut Cabin Crew Motorworks muncul juara pusingan pertama Kejohanan Kebangsaan KBS-MAM Kapcai Endurance 2017 hari ini. Pada perlumbaan di Litar Speedway PLUS, Subang, gandingan tersebut melengkapkan 132 pusingan dalam tempoh dua jam untuk mengungguli saingan perlumbaan kelas terbuka.
6. MELBOURNE 29 Jan - Roger Federer menewaskan Rafael Nadal dalam pertarungan sengit lima set pada final Terbuka Australia untuk rekod kejuaraan Grand Slam ke-18, sebentar tadi. Federer, 35, yang juga pilihan ke-17 menang 6-4, 3-6, 6-1, 3-6, 6-3 dalam masa tiga jam 38 minit di Rod Laver Arena ketika menundukkan pilihan kesembilan dari Sepanyol itu.
7. PARIS 30 Jan - Bernardo Silva meledak gol penyamaan pada masa kecederaan bagi membantu Monaco mengikat Paris Saint-Germain (PSG) 1-1, awal pagi tadi sekali gus kembali menerajui persada Ligue 1.
8. MADRID 30 Jan - Penyerang Barcelona, Luis Suarez merungut terhadap kegagalan pegawai perlawanan mengesahkan 'gol hantu' penuh kontroversi ketika bertemu Real Betis, semalam dengan mendakwa bola sudah melepasi garisan gol sebanyak satu meter.
9. LONDON 30 Jan - Pengurus Chelsea, Antonio Conte melaungkan amaran terhadap anak-anak buahnya agar tidak memandang rendah kemampuan Liverpool menjelang aksi Liga Perdana England di Anfield awal pagi Rabu ini. Conte, 48, percaya The Reds semestinya akan ‘melepaskan geram’ terhadap skuad bimbingannya selepas mereka tersingkir daripada saingan Piala FA selepas diaibkan 1-2 oleh Wolverhampton Wanderers pada pusingan keempat di Anfield kelmarin.
10. LONDON: Jose Mourinho mengesahkan Bastian Schweinsteiger akan terus kekal bersama Manchester United sehingga akhir musim ini, tatkala tempoh pemindahan pemain dijadual berakhir, esok.